Tuesday, April 20, 2010

INDIVIDU BERJAWATAN BESAR KURANG BERADAB...

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketara elemen kurang beradab sehingga tercetusnya kelakuan tidak beradat dalam masyarakat termasuk di kalangan mereka berjawatan besar, penting dan memiliki kelayakan profesional.

Baginda bertitah, lebih memalukan apabila perbuatan kurang beradab itu bukan berlaku di tepi jalan atau di pasar, tetapi turut berlaku di tempat-tempat yang sepatutnya mencerminkan ketertiban yang tinggi dan kehalusan budi.

“Ia bukan lagi dicerminkan melalui perangai dan tingkah laku anak-anak yang belum mencapai usia baligh, tetapi lebih memalukan kerana ia dilakukan oleh insan dewasa berjawatan besar, penting, berkelulusan tinggi dan berkelayakan profesional.

“Bagaimanakah rupa bentuk negara bangsa yang akan terbina nanti jika elemen adab dan adat sudah tidak lagi ada di kalangan warganya. Adakah lengkap ukuran sebuah negara maju, sebuah negara kaya, jika warganya mundur dengan adab dan miskin dengan adat,” titahnya.

Raja Nazrin bertitah, adab berperanan besar dalam membentuk sebuah masyarakat dan membina negara bangsa yang stabil dan makmur kerana ia dikaitkan dengan pendidikan manusia yang luhur.

Titahnya, adab merangkumi elemen kemanusiaan, kebajikan, kasih sayang, sifat menghormati ibu bapa, guru, orang berilmu, orang tua, kanak-kanak, jiran tetangga dan pemimpin selain adab terhadap alam semula jadi, bahasa dan budaya yang tidak harus dicemari.

Baginda bertitah, adab itu sewajibnya memperlihatkan keadilan, mencerminkan hikmah serta mempertahankan hak dari segi realiti dan kebenaran dan penentu kepada jatuh bangunnya pemimpin, bangsa dan negara.

Raja Nazrin bertitah, adab memperingatkan manusia bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor kuasa, kekayaan atau keturunan tetapi ditentukan oleh kriteria yang terkandung dalam al-Quran dari segi pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni.

“Justeru, apabila kuasa dan sumber diuruskan oleh individu yang tidak memahami idea induk, akan berlakulah penyalahgunaan kuasa dan pembaziran sumber, diikuti suasana kekeliruan intelek dan kekeliruan moral.

“Salah urus sumber juga mengakibatkan berlakunya kemiskinan yang berpanjangan dan kemusnahan institusi penting,” titahnya.

Baginda bertitah, peranan Raja-Raja Melayu amat besar dalam menentukan rupa bentuk warga, menetapkan identiti negara bangsa serta berperanan dan berpengaruh dalam menyebar dan menerapkan ajaran Islam khususnya di kalangan warga berketurunan Melayu.

Sekian,
MaFaT